Tentang Tenang (CERPEN 2)





Lara mengambil tempat duduk bersebelahan An yang sedang merenung tasik luas di hadapan mereka itu. An terus memandang ke arahnya dan membiarkan saja tindakan Lara yang tiba-tiba muncul itu. 

"Jauh termenung." Lara bersuara setelah duduk dengan selesa bersebelahan dengan An. Dia turut membuang pandangannya ke arah tasik yang agak gelap memandangkan hari pun sudah malam. Sesekali matanya terpacak pada air pancur yang terdapat di tengah-tengah tasik itu. Bunyi air pancur itulah yang memecahkan kesunyian sekeliling tasik itu. 

Ada beberapa orang mahasiswa dan mahasiswi lain yang turut berada di kawasan tasik itu untuk bersenam. Jam baru sahaja menunjukkan jam 10 malam. Ramai yang akan mengambil angin di kawasan ini lagi-lagi esok hujung minggu. 

Dan seperti biasa, Lara tahu bahawa sahabatnya itu pasti mengambil angin di kawasan tasik ini pada waktu begini. Cuma kebelakangan ni An begitu kerap duduk di sini ketika waktu malam. Oleh sebab itu, ketika melihat An tidak ada di asrama tadi, dia dapat mengagak bahawa An berada di sini. 

Benar. Sangkaannya tepat sekali. 

An yang mendengar teguran Lara tadi hanya tersenyum sedikit. Dia mengambil air mineral yang terletak di sebelahnya lalu meneguknya beberapa kali dengan perlahan. 

"Lara, aku nak share sesuatu boleh tak?" Tanya An. Lara memandang An, dahinya sedikit berkerut. Kemudian dia menganggukkan kepalanya. 

"Mestilah boleh. Sharelah. Berat ke ringan?" Tanya Lara lalu ketawa kecil. An tersenyum. 

"Biasa ja. Just nak share something, then kau bagi nasihat. Boleh?" Tanya An. 

"Nasihat? Alamak, aku ni pun akhlak aku tak betul lagi. Tapi tak apa, kau pernah kata, persahabatan yang baik, adalah persahabatan yang saling memberi nasihat walaupun sebenarnya aku pun tak betul sangat lagi." Kali ini Lara ketawa besar. Dia memang tak keruan sikit bila orang dah mula nak minta nasihat.

Almaklumlah, dia pun orangnya kuat mengeluh. Agama tu faham, tapi part nak amal dengan baik tu masih tengah berusaha keras.

"Macam mana kau boleh rasa tenang nak hadap semua kesibukan? Maksud aku, kau boleh ceria, kau boleh bergaul baik dengan kawan-kawan lain. Kau boleh bersukan, senaman apa semua. Kau boleh tidur awal, bangun awal." Tanya An, benar-benar ingin tahu. 

Lara sedikit terkejut. Dia merenung wajah An. Dia berfikir sejenak untuk menjawab soalan tersebut. 

"Aku macam tu eh?" Tanya Lara lalu tersengih. An mengangguk sambil tersenyum. 

Lara berfikir lagi. 

"Hm, sebab aku suka dengan apa yang aku buat kot, An. Tapi sebenarnya, ada ja masa aku tak tenang, aku burn out, aku mengeluh. Aku rasa nak stop dengan apa yang aku buat. Bila dah mula rasa letih, aku jadi tak produktif." Jawab Lara dengan yakin. Apa yang An katakan tadi, tidak seluruhnya menggambarkan dirinya yang sebenar. 

Dia memang seorang yang ceria dan banyak beraktiviti, tetapi dia juga pernah mencapai tahap letih untuk melakukan semua perkara. 

"Tapi, semua benda tu tak nampak. Orang nampak kau sebagai satu sosok yang bawa postive vibes tu." Ujar An. Lara tergelak perlahan. Namun, jauh di sudut hatinya, dia sedikit bersyukur. Sekurangnya, semua rasa sakit dan kecewa yang dia alami selama ini tidak perlu dia berbagi pada orang lain. 

"An, aku pernah berada di satu titik yang aku tak sayang dengan diri aku, An. Aku pernah bersendirian, aku takut nak jumpa semua orang. Kau bayangkan, awalnya kau paling cinta dengan apa yang kau buat, tiba-tiba di pertengahan proses tu, benda tu lah yang paling membunuh kau dan memberi luka yang paling dalam. An, aku tak suka kalau orang nampak aku sedih. Bukan sebab aku nak buktikan aku terpaling kuat, terpaling tak ada masalah. Tapi aku takut aku jadi penambah kesedihan orang lain." Lara diam sejenak. An masih mendengar. 

"Aku pernah hilang lama. Aku mencari apa yang aku mahu sebenarnya. Aku rasa dalam jiwa aku ada satu ruang kosong yang aku tak tahu nak isi macam mana. Itulah alasan aku aktif dengan semua aktiviti. Aku sebenarnya mencari sesuatu yang boleh isi ruang kosong tu An. Tapi aku tak jumpa." Lara diam lagi. 

"Rupanya satu saja yang aku tak buat. Benda yang paling dekat dengan aku. Merata aku cari. Benda ada depan mata, tapi sampai beribu batu aku terbang. Berjuta langkah aku berlari, semata-mata nak isi kekosongan tu An." Sambung Lara. 

"Benda apa tu Lara?" Tanya An.

"Solat." Jawab Lara pendek. An sedikit tersentap. 

An membuang pandangannya ke arah tasik semula. Jiwanya sedikit terkilan. 

Ya, solat. 

"Solat, An. Bukannya aku tak solat. Aku solat macam biasa, An. Tapi aku tak alert dengan solat aku. Aku solat tiap hari, tapi aku tak pernah fikirkan kualiti solat aku macam mana. Aku sibukkan diri aku dengan dunia. Aku kata nak berjaya, nak menonjol, nak holistik semua tu, tapi aku tak pernah fikir pasal kualiti solat aku. Ada masa tu bila aku nak buat kerja, aku lambatkan dulu kemudian dekat hujung waktu solat, baru aku rush solat. Tapi aku tak ada rasa apa lagi, An. Sekurangnya aku solat kan, An. Sampailah, suatu ketika tu, aku rasa aku tak suka dah dengan benda yang aku buat. Aku rasa macam aku bermasalah dengan semua orang. Aku rasa kalau ada masalah tu, aku tak melandaskan fikir aku di atas zikir. Aku letakkan masalah aku di atas timbangan emosi aku semata-mata." Luah Lara. Ada kekesalan di hujung suaranya. 

An menahan keluhannya. Matanya berkaca. Dia sebak mendengar ayat-ayat Lara. Namun telinganya masih setia mendengar apa yang Lara ingin kongsikan. 

"Betul, An. Cuba kita fikirkan semula, kenapa banyak-banyak benda, solat juga yang Allah tekankan. Lepas kita ucap kalimah syahadah, rukun kedua terus mention pasal solat. Kemudian, nanti kita dah kembali pulang ke alam akhirat sana, benda kena soal pasal solat dulu. Dari rukun sampai ke akhirat, solat dulu paling penting. Memang tujuan utamanya itu sebagai tanda keimanan kita pada Allah, tapi cuba fikirkan secara meluas lagi." Sambung Lara. 

"Paling mudah nak buat, tapi paling berat untuk dirikan." An bersuara. Lara mengangguk setuju. 

"Betul, An. Semester kedua kita adalah semester yang aku betul-betul down teruk dengan diri aku. Aku push diri aku untuk jadi yang terbaik di mata semua orang sampai aku lupa nak perform diri aku yang terbaik depan Allah, An. Bila Allah bagi aku macam-macam dugaan, baru aku lemah kaki nak bersujud, aku ringankan tangan untuk berdoa. Itupun lambat sangat lagi aku sedar. Aku isi kekosongan aku dengan benda-benda lain. Rupanya depan mata, benda yang aku selalu buat, tapi aku tak ambil berat, iaitu solat aku." Ujar Lara. 

"Kalau ada masa tu kita rasa semua masalah tak settle, emosi kita ke laut, banyak masalah datang, rezeki kita sempit, ataupun kita dah ada semua dah, tak ada masalah sangat pun sebenarnya, tapi benda-benda kecil ja dah buat kita melenting, hubungan kita dengan orang lain tak baik. Mungkin, kita perlu recheck solat kita. Kita perlu tanya semula diri kita, bila kali terakhir kita betul-betul meletakkan diri dan hati kita di atas sejadah? Bila kali terakhir kita lengkapkan semua bacaan-bacaan yang sunat dalam solat kita? Bila kali terakhir kita rasa solat kita tu betul-betul tenangkan kita?" Sambung Lara. 

"Terima kasih, Lara. Nasihat kau buatkan hati aku tenang." An bernada sebak. 

Lara tersenyum nipis lalu menepuk perlahan bahu kiri An. 

"An, aku nampak saja seminggu dua ni kau nampak sedih, kau tak ceria, kau tak selera makan, kau tak bergaul sangat dengan orang lain, kau banyak bersendiri. Termasuk malam ni, aku rasa direct seminggu ni kau memang duduk kat sini asal waktu malam. Kalau kau ada apa-apa masalah, cerita tau." Pujuk Lara. 

"Aku ada masalah dengan diri aku saja, Lara. Apa yang kau cakap tadi, dah tepat dah. Sebelum ni aku tak jumpa solusi tentang apa yang aku perlu lakukan. Aku rasa dunia aku kosong, Lara. Aku sampai tak boleh nak jalani hari aku dengan baik. Aku susah nak tidur. Tapi once aku tidur, aku susah nak bangun. Ibadah aku jadi berat, emosi aku jadi lemah." An terus menangis. Lara mendekatkan kedudukannya dengan An. Dia terus memeluk bahu sahabatnya itu. 

"Aku banyak mendiamkan diri sebab aku tak tahu apa yang aku perlu, Lara. Ramai orang yang aku sayang pergi dari aku. Tak selesai satu masalah, datang lagi satu masalah. Aku tak hubung keluarga aku kat kampung. Aku lost. Banyak benda aku nak kejar dan akhirnya, bila aku dah hampir nak dapatkan semua tu, aku jadi lelah. Aku jadi kosong." An masih dengan tangisannya. Lara memeluk sahabatnya itu. Kini kepala An berada pada bahu kanannya. Dia menepuk perlahan belakang An untuk memberi ketenangan. 

"An, sayangkan diri sendiri tau. Jangan paksa diri sampai kau sakit macam ni. Ahsal kau tak bagitau aku pun semua yang kau rasa ni. Kau jangan sedih sensorang, An, Aku sentiasa ada. Aku boleh jadi pendengar kau, An." Pujuk Lara dengan nada perlahan. An masih dengan tangisannya. Hati Lara menjadi sedih.

Biarlah, air mata itu sebuah rahmat. Air mata itulah yang menjadi pengubat luka, penghapus sesak di dada. An selamat dengannya. Dia akan sentiasa bersedia untuk mendengar semua luahan sahabatnya itu. 

"Sebenarnya kita yang terlalu memaksa diri kita untuk sentiasa kelihatan baik-baik saja. Kita lupa nak jaga ni, hati dan rohani kita. Kita rasa, kalau kita lambatkan hal dunia, kita takkan survive. Kita takkan menonjol. Padahal kita lupa, rohani ni lah yang menguatkan mental dan fizikal kita. Bila kita kejar hal akhirat, dunia akan ikut sama. Tapi sayang, tak selalu kita percaya dengan benda ni. Kita tak ada keyakinan dengan janji Allah. Jadi, kita sama-sama sayangkan diri kita dan perbaiki solat kita ya." Pujuk Lara, tangannya kini mengusap kepala sahabatnya yang dilitupi tudung hitam itu. 

An mengangkat kepalanya kemudian membetulkan kedudukannya yang sedikit tertunduk itu. Dia mengesat air mata yang membasahi pipinya itu. 

Tenang. Sebuah beban terasa hilang dari hatinya. Akhirnya malam ini dia menangis juga. Padahal dia sudah berjanji untuk tidak akan menangis. 

"Terima kasih, sebab jadi sahabat aku, Lara. Kau tak kisah ke aku macam ni, Lara?" Tanya An. Masih ada sisa tangisan di hujung matanya. Lara merenung wajah An. 

"Tak kisah apa?" Tanya Lara, tidak faham.

'Ye lah, aku nampak tak kuat semangat. Sedih je memanjang. Ada ja masalah yang aku fikirkan. Ada ja benda yang aku nak tangiskan. Aku pun bukan sahabat yang baik. Solat aku pun tak baik. Aku bukan sahabat yang boleh melengkapkan agama kau...."

"Dah, jangan cakap macam tu." Lara memotong ayat An. 

An terdiam. Mereka saling berpandangan. 

"An, kalau aku nak sahabat yang baik agamanya, yang cantik solatnya, yang indah peribadinya, aku dulu yang kena jadi insan tu. Aku kena jadi sahabat yang baik agamanya, yang cantik solat, yang indah peribadi. Kalau belum lagi aku capai semua tu, aku kena berusaha betul-betul pun dah cukup baik dah. An, sama-sama berganding tangan untuk kejar cinta Allah itu lebih indah, An. Aku pun bukan sahabat yang baik. Tapi tidak perlu saling meninggalkan hanya sebab aku tak baik. Aku ikhlas nak berkawan dengan kau. Dan kalau kau ikhlas nak berkawan dengan aku, jadi kita perbaiki agama kita sama-sama. Jangan tinggal satu sama lain. Kau janji?" Lara mengangkat jari kelingkingnya untuk membuat ikatan janji dengan An. 

An merenung jari tersebut lalu tersenyum. Dia terus menautkan jari kelingkingnya dengan jari Lara. Kemudian mereka ketawa perlahan. 

"An, kita dah nak habis belajar dah. Ni dah tahun terakhir kita sama-sama belajar. Tipulah sepanjang tu kita tak saling sakit hati, kita tak pernah bergaduh. Tapi aku tahu itu turun naik dalam persahabatan. An, aku dah sebut kau dalam doa aku. Aku dah bagitau Allah yang aku sayang kau sebab Dia, jadi Allah cabar aku untuk buktikan apa yang aku dah cakap dekat Dia. Aku nak jadi sahabat yang baik. Aku sayang kau sebab Allah tau." Akhirnya Lara menitiskan air matanya. Hatinya begitu sensitif jika meluahkan hal sebegitu. 

"Dah, jangan nangis-nangis." Kini An pula yang memujuk Lara. 

"Malam ni kita sensitif kan An." Lara mengesar air matanya sambil tergelak perlahan. 

"Malam muhasabah kot rasanya ni." Mereka berdua ketawa. 

"Kau janji, jangan terlalu sedih lagi. Jangan lost lagi. Kita boleh sedih, tapi jangan sampai hilang diri kita. Kita ada agama yang menguatkan kita. Bila rasa berat, rasa marah, rasa tidak tenang, pergilah solat dengan baik. Alert semula dengan solat kita. Tapi nanti, bila Allah dah ringankan semua benda, jangan lupa pasal solat kita semula. Kita kena ingat, di setiap rasa susah yang kita hadap, yang meringankan dan menghilangkan semua tu adalah Allah. Jadi, bila Allah hadiahkan kita dengan kebahagiaan, kita tunjukkan syukur dengan ketaatan." Pesan Lara. An mengangguk faham.  

"Kiranya, macam mana pun sedih dan bahagianya kita waktu itu, jangan lupa untuk sentiasa berada dalam landasan ketaatan." Ujar An. Lara mengangguk sebagai tanda mengiyakan. 

"Betul, An. Orang yang betul-betul menjaga solatnya, menjaga agamanya, bukan bermaksud dia tidak akan ditimpa ujian. Malah mungkin lebih berat ujian akan datang selepas itu. Tapi kalau benar dia ikhlas dengan solatnya, kalau benar cintanya ditujukan untuk meraih cinta Allah, kalau benar dia yakin dengan doanya kepada Allah, semua ujian itu akan dia bawa kepada Allah. Allah akan tiupkan sebuah ketenangan dan keringanan dalam hatinya. Tidak bermaksud masalah yang dihadapi terus hilang, tapi semua rasa beban, rasa berat yang kita hadap semakin berkurang, semakin tenang." Ujar Lara. An mendengar dengan khusyuk. 

Lara merenung wajah An. 

"An, terima kasih tau. Sepanjang kita kenal, kau antara yang membuat aku rasa tenang. Kita memang bukan hamba yang baik lagi, tapi kita berusaha. Terima kasih, sebab kau masih sudi nak sama-sama dengan aku untuk perbaiki agama dalam kehidupan kita. Sampai sekarang kau ada lagi dengan aku walau aku ni banyak betul pincangnya kan." 

"Kau kata tadi tak baik kata macam tu." Potong An. Mereka berdua ketawa. 

Lara membelek jam tangannya. 

"Dah lewat dah. Jom balik asrama." Ajak Lara.

"Jom." An bersetuju lalu mereka sama-sama berdiri. 

Lara memandang An. 

"Kau dah rasa okay tak sekarang?" Tanya Lara untuk memastikan. 

"Dah." An tersenyum menampakkan giginya. 

"Kau janji aku satu benda, boleh?" Soal Lara. 

"Apa tu?"

"Lepas ni, kalau kau rasa lemah, kau luah dengan aku. Jangan fikir banyak seorang diri. Sayangkan diri kau, jangan seksa diri sendiri. Apa-apa pun dalam kehidupan ni, diri kita lah yang paling penting.  Mungkin aku tak selalu ada, tapi aku akan selalu doa dengan Allah, supaya aku jadi sahabat yang sentiasa ada dan sahabat yang terbaik untuk kau. Aku tak berani berjanji untuk sentiasa ada, sebab tu aku doa dengan Allah supaya apa pun itu, Allah memberi jalan kemudahan untuk kita." Ujar Lara dengan senyuman. An memeluk bahu sahabatnya itu. 

'Ya Rabb, rezeki mempunyai sahabat yang baik juga adalah rahmat yang besar.' Getus hati An. 

"Kau pun tau. Kalau ada masalah, kongsilah dengan aku. Kita dah nak 4 tahun dah kenal, hidup sama-sama. Sesedih apa pun kau ketika itu, kongsilah dengan aku. Aku nak jadi sahabat yang baik juga." Ujar An dengan senyuman manisnya. Lara membalas senyuman tersebut. 

"Malam ni, jom, tahajud sama-sama. Lama tak buat, kan?" Ajak Lara dengan nada semangat. 

"Nakkk!" An teruja. 
 




Comments

Popular posts from this blog

Tentang Doa (CERPEN 1)