Tentang Doa (CERPEN 1)
Semua pelajarnya memandang An. Suasana kelas menjadi sunyi.
Kebiasaannya, mereka semua memang tiada soalan. Dan kebiasaannya, An yang banyak sangat soalannya dah dekat hujung-hujung masa kelas. Mereka sedikit cuak melihat wajah An yang tidak bereaksi itu. Hanya matanya yang tepat merenung wajah mereka satu persatu.
"Tak ada, ustazah." Jawab mereka hampir serentak. An mengangguk perlahan sambil memasukkan markernya dalam beg penselnya.
"Baik, kalau macam tu, kita jumpa esok. Banyakkan mengulangkaji di rumah. Al-Quran kena kerap baca, supaya lebih lancar. Ustazah dengar bacaan kamu masih banyak lagi kesalahan. Semua kekurangan yang ada dalam bacaan kita hanya boleh diperbaiki dengan banyakkan membaca dan fokus belajar dalam kelas." Pesan An dengan nada tegasnya. Riak wajahnya masih sama, tidak juga marah, tidak juga senang. Susah diduga. Namun pesanan itu sudah menjadi kebiasaan kepada pelajar-pelajarnya. Mendengar nasihat yang diberikan, mereka hanya mengangguk faham sambil tersenyum.
"Kami balik dulu, ustazah." Beberapa orang pelajar mulai serentak keluar dari kelas itu. An hanya mengangguk sambil tersenyum sedikit. Baru kali ini An mengukirkan senyuman yang agak senang hati dilihat.
An melihat Zafir yang sedikit lambat mengemas barang-barangnya. Namun An hanya membiarkan. Tangannya juga sedang sibuk mengemas semua buku dan alatan tulis yang agak bertabur atas mejanya itu.
"Ustazah, ini." Tahu-tahu Zafir sudah berdiri di hadapan mejanya. An mengangkat kepalanya untuk melihat Zafir, pelajar 9 tahun itu. Kemudian matanya turut melihat benda yang dihulur Zarif kepadanya.
Coklat.
An terus tersenyum. Dia jarang menolak coklat.
"Untuk ustazah ke?" Tanya An meminta kepastian. Zafir segera mengangguk sambil mengukirkan senyuman.
An menyambut huluran tersebut dengan senyuman manisnya.
"Terima kasih, Zafir. Ustazah suka makan coklat." Ucap An dengan senang hati. Dia meletakkan coklat tersebut di hadapannya lalu melihat Zafir semula. Pelajarnya itu belum berganjak lagi. An merenung matanya, sepertinya ada sesuatu yang Zafir ingin sampaikan.
"Zafir ada apa-apa nak cakap dengan ustazah ke?" Tanya An. Zafir mengangguk perlahan.
"Haa, duduklah. Jangan berdiri." An menunjuk pendek kerusi yang masih terletak di hadapan mejanya itu. Zafir tanpa teragak-agak terus duduk bertentangan dengan An. Wajah tenang itu sepertinya ingin berkongsi sesuatu.
An agak tertanya-tanya. Setahunya Zafir seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap. Dan kalau habis waktu kelas, Zafir antara pelajar yang pantas menyusun barang-barangnya lalu keluar. Namun berbeza kali ini.
"Ustazah, betul ke Allah dengar semua doa kita?" Tanya Zafir dengan wajah tertanya-tanya. An terdiam sejenak mendengar soalan itu.
"Betul, dalam asmaul Husna, ada satu nama yang disebut as-sami' maksudnya Maha Mendengar." Jawab An. Dia merenung lembut wajah pelajarnya itu.
"Ada bukti ke, ustazah?" Tanya Zafir lurus. An terdiam lagi.
Alamak, nak bukti pula. Itu bererti, Zafir belum begitu mengerti dan memerlukan cara yang lebih mudah untuk lebih memahami dan percaya bahawa Allah itu mendengar semua doa hamba-hambaNya.
"Okay, tadi kita baca surah apa?" Tanya An. Zarif berfikir sejenak. Dia masih terlupa dan segera mengeluarkan al-Quran terjemahannya. Dia membelek perlahan setiap helaian al-Quran itu untuk mencari muka surat yang sudah ditanda tadi.
"Surah Ibrahim, ustazah." Jawab Zafir sambil matanya masih membelek al-Quran tersebut dengan perlahan. An tersenyum.
"Baik, sekarang cuba baca ayat 39." Ujar An dengan tenang. Zafir menurut perintah dan segera mencari ayat 39 dari surah Ibrahim.
"الْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى الْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاء".
Zafir membacanya dengan teliti sambil didengarkan oleh An yang sedang tersenyum mendengar bacaannya yang baik itu.
"Baik, baca terjemahannya pula. Dekat ayat selepas tanda waqaf Jaiz tu." Ujar An. Zafir akur lalu mencari makna bagi ayat tersebut.
إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاء
"Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa." Zafir membaca terjemahannya.
"Itulah buktinya." Jawab An dengan lembut.
Zafir merenung wajah An.
"Tapi kenapa Allah tak makbulkan doa Zafir lagi?" Tanya Zafir. Wajahnya sudah kelihatan mendung namun segera dia tunjukkan wajahnya merenung al-Qurannya itu. An sedikit terkejut namun dia cuba bertenang. Pasti ada sesuatu yang bermain dalam minda anak kecil ini.
"Apa yang Zafir doa?" Tanya An dengan lembut. Zafir diam sejenak, apabila dia sedikit kuat barulah dia mengangkat kepalanya lalu memandang wajah ustazahnya itu.
"Zafir selalu doa supaya Allah tak bagi ayah garang dengan Zafir. Zafir juga selalu doa supaya ayah sayang Zafir. Zafir selalu doa supaya ayah sentiasa ada dengan Zafir, teman Zafir buat kerja sekolah, ajar Zafir baca Quran, makan dengan Zafir. Ayah selalu tak ada dengan Zafir. Kalau ada pun, ayah selalu garang dengan Zafir." Luah Zafir dan akhirnya air matanya mengalir di pipi. An terdiam mendengar luahan pelajarnya itu.
"Ayah Zafir sayang Zafir. Buktinya, ayah Zafir sambut hari jadi Zafir kat hotel bulan lalu. Ustazah tak pernah dapat sambut hari jadi kat hotel." An cuba mengubah suaranya menjadi sedikit teruja.
"Tapi, ayah selalu garang." Zafir masih protes.
"Biasanya, bila ayah akan garang dengan Zafir?" Tanya An.
"Bila Zafir tak buat kerja sekolah, Zafir lambat pergi mandi, lepas maghrib pun tak mandi lagi atau bila Zafir tak nak makan." Jawab Zafir. An sedikit tenang. Sangkanya, ada hal lebih berat selain itu.
Mungkin bagi usia seperti Zafir, apabila orang tuanya menegurnya berkenaan hal-hal rutin itu, dia menyangka bahawa ayahnya tidak sayang padanya, terlalu garang dengannya.
"Ayah jarang ada kat rumah sebab sibuk kerja. Dan bila ayah balik, ayah mesti akan marah-marah Zafir." Sambung Zafir lagi. Kali ini dia sudah menyeka air matanya.
"Hm, kalau macam tu, lepas ni bila ustazah dah balik rumah, ustazah tak naklah mandi." An mengubah nadanya seperti budak-budak. Zafir kehairanan dengan ayat ustazahnya itu.
"Eh, kenapa? Ni dah petang, kalau ustazah tak mandi, nanti busuk." Ujar Zafir, spontan.
"Mana ada busuk. Ustazah hidu tak busuk pun." An menghidu kiri dan kanan lengan bajunya. Zafir memerhati.
"Tapi, udara luar kotor, ustazah. Kalau kita tak mandi, nanti sakit. Nanti tak bersih." Ujar Zafir, wajahnya risau.
"Siapa kata macam tu?" Tanya An, buat-buat tidak percaya.
"Ayah dan ibu." Jawab Zafir, selamba.
"Zafir suka tak kalau ustazah tak nak mandi?" Tanya An. Zafir menggeleng.
"Jadi lepas ni, setiap kali nak petang je, kita terus pergi mandi, boleh? Janji?" An bertanya dengan nada bersungguh. Zafir mengangguk laju.
"Kita kena target kita mandi sebelum maghrib supaya tak kena marah lagi. Boleh?" Tanya An lagi dan disambut dengan anggukan Zafir.
"Kalau Zafir langgar janji, ustazah pun tak nak mandi lagi. Pagi pun ustazah tak nak mandi." An ketawa mengekeh. Zafir mengerutkan dahinya.
"Eh, mana boleh." Zafir bingung sendiri.
"Jadi lepas ni, Zafir kena pastikan ayah Zafir dah tak bising-bising dah pasal Zafir culas sangat nak mandi, atau tak buat kerja, atau Zafir tak nak makan. Janji? Kalau tak, ustazah pun tak nak mandi dan tak nak makan. Biarkan ustazah sakit, tak wangi." Tanya An lagi, cuba mengikat janji agar Zafir benar-benar bersungguh.
"Mulai hari ni Zafir janji, akan segera mandi dan buat semua perkara sebelum ayah marah Zafir. Zafir tak nak ustazah sakit, Zafir nak ustazah selalu wangi. Ustazah kena selalu makan supaya ustazah sihat." Jawabnya lurus. Hati An terusik. Lawak pun ada juga.
"Sebab tu ayah garang dengan Zafir. Sebenarnya ayah tak nak Zafir sakit, nak Zafir wangi. Allah dah makbulkan doa Zafir. Cuma, ayah sedang bekerja. Tak selalu boleh ada dengan Zafir, tapi ibu sentiasa ada, kan? Ayah bekerja penat, hujung minggu baru ada kat rumah. Kalau ayah tak kerja, nanti Zafir tak ada rumah, tak ada makanan. Nanti ayah tak dapat belikan Zafir coklat lagi." An cuba memberi kefahaman yang ringkas kepada Zafir. Walaupun mungkin, perkara itu tidak mengisi kekosongan dalam hati Zafir kerana apa yang pelajarnya itu mahukan adalah perhatian yang lebih agar dia merasai kasih sayang.
Suatu hari nanti, Zafir akan faham sendiri.
"Zafir dah okay dah?" Tanya An. Zafir mengangguk. Kali ini terbit senyuman pada bibirnya.
"Jadi lepas ni, kalau Zafir jadi lebih rajin, Allah akan kabulkan doa Zafir ke ustazah?" Tanya Zafir.
"Betul. Bila kita berdoa, kita kena berusaha. Bila kita dah rasa bahawa kita berusaha, teruskan. Dan selebihnya, biarkan Allah saja buat kerjanya. Allah Maha Mendengar. Allah sayang kita semua." Jawab An dengan lembut. Zafir mengangguk faham.
"Terima kasih, ustazah. Ni, ada coklat lagi." Hulur Zafir. An teruja.
"Wahh, ustazah memang teringin nak makan coklat tau hari ni. Tahu-tahu Allah dah bagi rezeki ustazah dapat coklat dari Zafir." An tersenyum riang. Zafir ketawa perlahan, hatinya gembira.
"Allah kan Maha Mendengar, ustazah. Allah mesti sentiasa kabulkan doa kita." Zafir tersenyum menampakkan giginya yang tersusun rata itu. An tersenyum.
"Tapi, pernah ke doa ustazah tak dimakbulkan?" Tanya Zafir. An terjeda.
Baru dia ingin bersuara...
Ting tonggg!
"Haa, tu mesti ibu Zafir." An dan Zafir terus berdiri dan segera keluar dari kelas. Soalan yang diajukan oleh Zafir itu tidak sempat dijawab. Zafir juga sudah berlari-lari anak ke pintu utama kelas tuisyen itu. An hanya mmeberikan senyuman manis dan lambaian kecil ketika ibu Zafir mengarahkan pandangan kepadanya.
Zafir memandang An kemudian melambaikan tangannya. An membalas lambaian tersebut dengan senyuman manis juga. Apabila dua beranak itu hilang dari pandangannya, dia menyusun langkahnya semula untuk masuk ke dalam kelas semula.
Dia duduk di atas kerusi. Soalan akhir Zafir tadi masih terngiang-ngiang dalam mindanya.
Mungkin satu konsep yang Zafir belum mampu fahami adalah tidak semua perkara yang kita doa akan kita miliki dengan segera. Atau juga, tidak semua yang kita doa, akan kita miliki seluruhnya. Ada doa kita yang tidak dimakbulkan mengikut apa yang kita pinta, tapi semua doa itu digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.
Ya, tentang doa.
Dia juga pernah berfikiran seperti anak kecil seusia Zafir. Walaupun umurnya sudah dewasa, dia juga pernah bermonolog sendiri.
Kenapa Allah tak makbulkan segala doanya?
Betulkah Allah Maha Mendengar?
Kenapa semakin banyak dia berdoa, semakin banyak dugaan yang datang?
Kenapa Allah tak makbulkan apa yang dia minta sedangkan hajatnya dalam doa itulah yang membuatkan dia bahagia?
Soalan-soalan itu pernah bermain di mindanya. Dia juga pernah tidak percaya dengan doanya sendiri. Namun, setelah semua soalan itu, hatinya masih ingin terus berdoa.
Kenapa dia sering berdoa? Bukankah dia sendiri sedar bahawa banyak doanya yang belum termakbul lagi?
Ya, benar.
Tapi, dia juga pernah berada di situasi yang dia berhenti berdoa kerana terasa putus asa, dan segalanya terasa berat, terasa kosong, terasa tidak aman, terasa kusut. Kemudian, dia kembali menadah tangannya, menangis, merintih dan meminta Allah ringankan semuanya kerana serasa tidak sanggup untuk membuka langkah lagi.
Ternyata, masalah masih ada.
Namun,
rasa berat itu semakin terasa ringan.
Rasa kusut itu beransur nyaman.
Rasa kosong itu seolah-olah ada yang mengisi.
Oleh kerana itu, apa pun itu, dia enggan berhenti berdoa. Dia ingin terus berasa nyaman dengan doanya. Walaupun dia tidak tahu apa perancangan Allah ke depannya, tapi yang dia yakin, Allah janjikan kenyamanan pada hati-hati yang sentiasa berdoa, yang tidak mengalah, yang sentiasa bercerita segala benda melalui doanya.
Tipulah kalau masalah akan terus selesai seraya berdoa. Jika semudah itu, pasti hamba-hamba seperti kita akan mengambil kesempatan dan bermalas-malasan dalam berdoa.
Apa pun itu,
"Ya Rabb, terima kasih kerana selalu mendengar doa sederhana dari hambaMu ini.
Tanpamu langkahku akan terasa berat, aku akan tersungkur tidak bangun lagi. Aku akan membenci diriku dan hidupku. Setelah aku belek semula, ternyata yang sentiasa menguatkan adalah Engkau. Aku juga tidak tahu sejauh ini aku bertahan, sedang baru ketika itu aku berasa bahawa aku takkan mampu, aku berputus asa dengan segalanya. Namun kau memberiku hidup dan menemani setiap langkahku untuk terus menjalani hari-hari yang tidak terduga jalannya."

Comments
Post a Comment